PASIR MAS – Hasrat sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila mereka dicekup semasa sedang menunggu bas di stesen bas Bandar Tasek Raja, di sini semalam.
Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira pukul 4.30 pagi di ruang menunggu bas di stesen bas tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamad, berkata, sembilan PATI yang diberkas terdiri daripada lapan warganegara Myanmar termasuk seorang wanita dan seorang lagi lelaki Bangladesh.
Menurutnya, selain itu, seorang bayi perempuan berusia dalam lingkungan dua tahun turut ditangkap bersama kesemua suspek.
“Pemeriksaan mendapati, mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku masuk ke Malaysia menaiki sampan melalui Sungai Golok untuk mencari pekerjaan di ibu negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kama Azural memberitahu, kesemua PATI termasuk bayi itu direman selama 14 hari bermula semalam, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, di sini.
Katanya, sehubungan itu, polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kemasukan PATI atau sebarang aktiviti yang mencurigakan di balai polis berhampiran untuk tindakan pencegahan. – KOSMO! ONLINE