TANAH MERAH – Seramai 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand termasuk lima wanita dicekup selepas mereka menyeberangi Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua PATI yang berusia 16 hingga 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.10 malam.
Menurutnya, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan operasi di pos pemerhati sebelum menahan 11 orang awam yang memasuki negara secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok.
“Pemeriksaan mendapati, PATI yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita. Anggota bertugas merampas sebanyak 14 buah telefon bimbit, wang tunai mata wang Ringgit Malaysia dan Bath, tiga kad pengenalan warganegara Thailand, tiga pasport, lima pas sempadan dan 25 beg galas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, selain itu, anggota ATM turut merampas enam bentuk cincin, tiga utas gelang, dua utas rantai emas, empat bentuk cincin perak dan seutas rantai perak dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,041.
Katanya, kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga, di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE