TIADA jalan pintas buat Sri Pahang untuk kekal di kelompok atasan Liga Super, malah pasukan perlu kekal dengan mentaliti juara seperti ditunjukkan dalam tiga aksi terakhir sebelum ini.
Wira Tok Gajah ketika menewaskan Selangor 1-0, Ahad lalu, Kevin Ingreso beri ingatan buat rakan-rakan sepasukannya supaya elak daripada bersikap ‘besar kepala’ kerana cabaran lebih sukar menanti pasukan selepas ini.
“Paling penting sekarang adalah kami perlu hadapi satu perlawanan demi satu perlawanan dan sekarang kami mula memberi tumpuan ke atas aksi menentang Sabah (Sabtu ini).
“Pastinya ia akan jadi satu lagi perlawanan sukar buat kami. Kami perlu sentiasa bersedia dan cuba ambil satu lagi langkah ke depan,” katanya.
Kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah menyaksikan Sri Pahang kini berkongsi 34 mata dengan anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu dan kekal di tangga ketiga, hanya dipisahkan perbezaan jaringan.
Bagaimanapun, pemain kebangsaan Filipina itu menegaskan, kejayaan meraih mata maksimum dalam tiga aksi terakhir adalah hasil kerjasama berpasukan serta pemain berjaya serap perancangan jurulatih dengan baik.
“Sudah pasti saya gembira dapat bantu pasukan, namun asasnya tidak kira siapa yang akan jaringkan gol. Semua ini adalah hasilnya apabila kami mampu ikut segala perancangan taktikal jurulatih,” katanya.