fbpx

Penduduk Langkawi mahu feri moden lebih canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKHIDMATAN feri menjadi pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Langkawi dan tanah besar.

LANGKAWI – Kalangan penduduk dan penggiat pelancongan di pulau peranginan ini merayu Kerajaan Persekutuan agar memberi perhatian kepada usaha menaik taraf perkhidmatan feri yang masih di takuk lama.

Rata-rata mereka berharap kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dapat menguta­makan kemudahan feri di Langkawi demi keselesaan pelancong, seterusnya merancakkan semula ekonomi pulau legenda tersebut.

Seorang penduduk, Khairul Nisak Talib, 34, berkata, perkhidmatan feri bagaikan nadi kepada sektor pelancongan Langkawi dan ia perlu dinaik taraf seiring dengan perkembangan semasa.

“Langkawi amat memerlukan perkhidmatan feri yang terbaik dengan mengutamakan aspek keselamatan, keselesaan dan kekerapan perjalanan.

“Di Pulau Pinang, sudah ada feri baharu yang moden dan selesa yang akan beroperasi tidak lama lagi, namun Langkawi masih terpinggir,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, ia tidak adil kepada penduduk Langkawi yang telah lama meminta kekerapan perjalanan feri ditambah.

“Langkawi bergantung sepenuhnya kepada feri, selain penerbangan untuk keluar masuk berbanding ke pulau itu, sebaliknya Pulau Pinang mempunyai dua jambatan untuk ke tanah besar.

“Kerajaan sepatutnya memberi lebih perhatian kepada perkhidmatan feri di Langkawi yang juga menjadi pengangkutan utama untuk pelancong masuk,” ujarnya.

Pekerja hotel lima bintang yang berasal dari Kuala Sanglang, dekat sini, Mohammad Nabil Ukail Mohd. Shukor, 25, berkata, kemudahan feri perlu ditambah baik terutama bagi kegunaan warga emas dan orang kelainan upaya.

“Ramai warga emas yang menggunakan perkhidmatan feri, jadi kemudahan seperti kerusi roda perlu disediakan secukupnya oleh pihak feri.

“Kemudahan kerusi roda sedia ada adalah tidak mencukupi, selain tempat simpanannya sangat jauh dan menyusahkan pengguna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI