fbpx

Nahas helikopter: Hasil bedah siasat dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat dua mangsa dari sebuah helikopter yang terhempas di Taman Melawati, Ampang semalam.

PETALING JAYA – Keputusan penuh hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas dua jenazah mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati semalam akan diperolehi dalam masa terdekat selepas mendapat laporan penuh makmal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bedah siasat telah dilakukan bermula pukul 9 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Bedah siasat mula dilakukan pada jenazah Mohamamed Sabri Baharom (juruterbang) dan kemudiannya diikuti oleh jenazah Mohd. Irfan Fikri Mohamed Rawi (penumpang).

“Bedah siasat pertama selesai kira-kira pukul 11 pagi manakala bedah siasat mangsa kedua pula tamat kira-kira pukul 1 tengahari dan kedua-dua jenazah kemudiannya diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, sehingga kini, seramai tujuh saksi telah dirakamkan percakapan mereka dan pihak polis telah mengenalpasti kira-kira 20 lagi saksi lain untuk diambil keterangan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengedarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan di media sosial bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta menganggu siasatan.

“Pihak Polis Ampang Jaya juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan atau menghubungi talian telefon 03-4289 7343 atau 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI