fbpx

Lapan operator pusat judi online dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditangkap dalam serbuan Op Dadu yang dijalankan oleh Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, semalam.

KUCHING – Enam lelaki dan dua wanita warga asing ditangkap kerana bekerja sebagai pengendali di sebuah pusat judi dalam talian di kawasan Stutong, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek dicekup dalam serbuan Op Dadu yang dijalankan oleh Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, semalam.

“Kesemua suspek telah diupah untuk mengendalikan pusat judi berkenaan dan akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian dalam talian.

“Selain panggilan telefon, mereka juga mempromosikan judi dalam talian menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat dan juga Facebook,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menjalankan operasi haram itu sejak beberapa bulan lepas berdasarkan rekod dan transaksi.

Ahsmon menambah pusat judi itu beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam, dengan pekerja terbabit akan bekerja 12 jam bagi setiap syif iaitu empat orang pada waktu siang dan empat orang pada waktu malam.

“Anggaran kutipan yang diperolehi dalam sepanjang pusat itu beroperasi adalah kira-kira RM450,000,” katanya.

Beliau berkata pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu termasuk lima unit komputer dan lima telefon bimbit.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

“Kesemua warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)9c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/6 dan kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini sehingga 26 Julai, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI