TURIN – Juventus dikatakan sudah bersedia untuk melepaskan pemain tengah, Paul Pogba pada jendela perpindahan musim panas kali ini dengan ‘harga runtuh’ bernilai £8.5 juta (RM51.23 juta).
Skuad The Old Lady itu dianggap tidak kisah sekiranya mereka kehilangan khidmat Pogba memandangkan bekas pemain Manchester United berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan akibat kecederaan.
Sejak kembali ke pangkuan Juventus secara percuma dari Manchester United tahun lalu, Pogba melakukan 10 penampilan sahaja dalam semua pertandingan selain hanya mencipta satu umpanan gol.
Meskipun Juventus terbuka bagi melepaskan pemain Perancis itu, namun Pogba dikatakan sedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sebaik sahaja dia pulih daripada kecederaan dialami.
Difahamkan, kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Ahli sedia mendapatkan khidmat Pogba selepas mereka berjaya membawa masuk bekas pemain Liverpool, Roberto Firmino secara percuma sebelum ini.
Sekiranya Pogba bersetuju untuk berhijrah ke Arab Saudi, dia akan menjadi pemain ternama terbaharu menyertai liga tersebut selepas Firmino, N’Golo Kante, Karim Benzema dan Kalidou Koulibaly.
Untuk rekod, Pogba merupakan pemain yang pernah memegang status perpindahan termahal dunia ketika dia pulang ke Old Trafford dari Juventus pada 2016 dengan yuran perpindahan £93.2 juta (RM561.76 juta). – AGENSI