PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di 11 negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran tersebut dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku sehingga pukul 7 malam ini di seluruh negeri Pulau Pinang, Perak serta beberapa daerah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah.
“Selain itu, amaran ribut petir juga dikeluarkan untuk daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, amaran sama juga dikeluarkan melibatkan beberapa daerah di Terengganu iaitu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Sementara di Pahang pula, cuaca buruk boleh berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Bera dan Rompin.
“Keadaan sama juga diramal melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, Selangor manakala di Negeri Sembilan pula melibatkan daerah Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, hujan lebat berserta ribut petir juga dikatakan bakal melanda daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi, Johor.
“Di Sarawak pula, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan, Sarikei (Julau dan Meradong), Sibu dan Mukah.
“Sementara di Sabah, kawasan terlibat ialah di Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE