fbpx

Status mediasi tuntutan 291 keluarga peneroka hilang kerja diketahui 29 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hisham (tiga dari kiri) bersama peserta PAKS Rantau Manis, Gua Musang yang menyertai proses mediasi bagi tuntutan terhadap Kesedar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSALWANI CHE SOH/ KOSMO!

KOTA BHARU – Status proses mediasi antara 291 keluarga peserta terlibat Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) Rantau Manis, Gua Musang yang hilang pekerjaan terhadap Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Oktober depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh itu selepas sesi mediasi antara peserta terbabit selaku plaintif yang diwakili peguam, Hisham Fauzi dan pihak Kesedar sebagai defendan yang diwakili peguam, Arham Rahimy Hariri.

Hisham ketika ditemui pemberita berkata, tarikh yang ditetapkan mahkamah itu merupakan tarikh akhir bagi Kesedar mempertimbangkan tiga cadangan penyelesaian daripada plaintif-plaintif.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu ditolak atau tiada keputusan oleh Kesedar, maka mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes terbabit.

“Tempoh itu diberikan bagi membolehkan pihak Kesedar membuat keputusan sama ada menerima tuntutan peserta berkenaan. Cadangan penyelesaian peserta dalam proses mediasi antaranya memohon untuk bekerja semula di ladang kelapa sawit seluas 3.7 hektar dengan status peneroka dan mereka juga meminta segala faedah yang ada seperti dalam perjanjian peneroka biasa.

“Bagi syarat kedua, peserta juga memohon untuk mendapatkan wang sagu hati sebanyak RM8,400 untuk setiap satu keluarga terlibat. Selain itu, mereka juga memohon supaya Kesedar memberi hak milik tanah seluas 0.2 hektar iaitu tapak rumah dan kebun tanaman koko diberikan kepada peserta,” katanya.

Mengulas lanjut, Hisham memberitahu, seramai 585 peserta menyertai PAKS dan sebahagian daripada mereka sudah menandatangi surat persetujuan menyerahkan semula ladang mereka kepada Kesedar.

Menurutnya, peserta yang terlibat kemudiannya diberikan hak milik tapak rumah, ladang koko seluas 0.2 hektar dan wang gratuiti (sagu hati) sebanyak RM8,400. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI