NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 31 orang maut selain hampir 1,300 jalan raya ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat, manakala 40 jambatan turut musnah selepas hujan lebat tanpa henti selama tiga hari di negeri Himachal Pradesh, India, lapor laman berita The Indian Express.
Ketua Menteri Himachal Pradesh, Sukhvinder Singh Sukhu berkata, kira-kira 40 kedai dan 30 rumah dihanyutkan di kawasan perkampungan Sainj di bandar Kullu. Beliau turut menjalankan tinjauan udara di kawasan Kasol, Manikaran, Kheer Ganga dan Pulga.
Ketua Pengarah Polis, Satwant Atwal berkata, 31 orang dilaporkan maut dalam beberapa kejadian berkaitan hujan sejak Ahad lalu.
Selain itu, seramai 250 pelancong terkandas di Chandertal, 300 di Sissu serta 300 lagi di beberapa kawasan di daerah Mandi.
“Percubaan untuk memindahkan mereka menggunakan helikopter Tentera Udara India (IAF) gagal kerana cuaca buruk,” jelas Satwant.
Bagaimanapun, situasi hujan yang sedikit reda semalam membolehkan pihak berkuasa mempergiat usaha pemulihan infrastruktur yang rosak.
Menurut pihak berkuasa, sebahagian lalu lintas di lebuh raya Shimla-Kalka yang disekat akibat runtuhan bawah tanah di kawasan Chakki Mor telah dipulihkan namun, sebilangan besar kenderaan masih terkandas di kedua-dua belah jalan.
Jabatan Pendidikan negeri turut mengeluarkan arahan yang menyatakan bahawa semua sekolah kerajaan akan ditutup sehingga 15 Julai. – Agensi