fbpx

Gajah liar ganggu Orang Asli dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suria (kiri) dan Kala (tiga dari kiri) mengapit gajah liar yang ditangkap di Pos Perwor, Sungai Siput hari ini bagi memujuknya menaiki lori untuk dipindahkan. Foto oleh FADZIL ZAINOL/ KOSMO!

SUNGAI SIPUT – Penduduk di Pos Perwor khususnya Orang Asli di sini boleh menarik nafas lega apabila seekor gajah liar yang sering mengganggu mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Operasi penangkapan dan pemindahan gajah liar yang berusia lebih 10 tahun itu telah bermula sejak Ahad lalu oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) melibatkan kekuatan 30 orang anggota termasuk bantuan pihak polis.

Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, gajah liar ditangkap itu akan dihantar ke habitat asal yang bersesuaian.

Katanya, operasi itu diadakan setelah menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan, termasuk kejadian gajah liar itu kacau ganggu kawasan sekolah.

“Di kawasan ini kami dari awal tahun menerima enam aduan serius. Gajah ini dipercayai salah seekor gajah yang membuat gangguan di kawasan kampung dan sekolah,” katanya kepada pemberita semasa operasi pemindahan gajah itu di sini hari ini.

Menurut Mohammad Abu Huzaifah yang mengetuai operasi tersebut, pemindahan itu turut dibantu oleh dua ekor gajah denak atau terlatih betina, Suria dan Kala untuk memujuk dan menarik gajah liar itu sehingga menaiki lori.

Operasi untuk membawa gajah liar betina seberat 1.7 tan hingga dua tan itu menaiki lori bermula dari 9 pagi hingga 1.30 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI