fbpx

Ops Kesan: Perkeso Negeri Sembilan keluar 24 kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Bakhtir bersama kakitangan Perkeso Negeri Sembilan ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan sempena Ops Kesan kali ke-14 di premis perniagaan di Taman Indah, Negeri Sembilan hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

TAMPIN – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan telah melakukan pemeriksaan ke atas 153 premis majikan serta mengeluarkan sebanyak 24 Notis Kompaun bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Notis Kompaun Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) sejak Ops Kesan dijalankan di negeri ini kelmarin sehingga 12 tengah hari tadi.

Pengarahnya, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, serentak dengan pelancaran di peringkat kebangsaan, pihaknya telah melaksanakan operasi di kawasan Bandar Enstek, Nilai diikuti daerah Tampin, bagi memastikan setiap pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial atau orang tanggungan sekiranya ditimpa sebarang musibah seperti kemalangan, penyakit atau kematian.

Menurutnya, keseluruhan jumlah kompaun bagi bagi 17 notis kompaun Akta 4 dan tujuh Akta 800 melibatkan nilai sebanyak RM29,000 dan pihaknya turut akan menumpukan enam daerah lain iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol bagi bertemu sendiri dengan majikan dari pintu ke pintu untuk memastikan mereka telah berdaftar dengan PERKESO.

Jelas Nur Muhammad Bakhtir lagi, majikan juga akan dikenakan penalti atau Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar.

Menurutnya, sekiranya gagal berbuat demikian, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ops Kesan bersepadu ini bertujuan memastikan majikan mematuhi Akta 4 dan Akta 800 untuk perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja yang layak di bawah akta-akta tersebut.

“Sebelum ini, Perkeso telah memberi peluang kepada majikan selama dua bulan tempoh pemutihan dari 1 Mei hingga 30 Jun lalu untuk mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela tanpa sebarang tindakan penalti atau kompaun,” jelasnya.

Menurutnya, semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 (Akta 800).

Dalam pada itu, Nur Muhammad Bakhtir memaklumkan sepanjang tahun lalu, sebanyak 89 Notis Kompaun dengan anggaran nilai RM80,000 telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI