fbpx

Orang ramai dijemput namakan tiga anak gajah Pygmy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara anak gajah Pygmy yang ada di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

PETALING JAYA – Sempena Hari Gajah Sedunia, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah mengajak orang ramai untuk menyertai Kempen Penamaan Tiga Anak Gajah Pygmy yang ada di taman tersebut.

Kempen dengan kerjasama Borneo Behaviour Solution dilakukan menerusi laman Facebook rasmi taman berkenaan bermula 10 Julai lalu dan berakhir pada 8 Ogos depan.

Kurator Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Maryati Abdullah Lakim berkata, kempen tersebut diadakan kerana sehingga kini tiga ekor anak gajah iaitu dua jantan dan seekor betina belum dinamakan.

Jelasnya, dua daripada anak gajah itu dilahirkan pada tahun ini, manakala seekor lagi pada hujung tahun lepas.

“Sehingga hari ini, belum ada nama diberikan kepada ketiga-tiga anak gajah tersebut.

“Penamaan anak gajah sempena Hari Gajah Sedunia diadakan bagi menggalakkan penyertaan orang awam untuk mewujudkan rasa “sense of belonging” dan meningkatkan kesedaran awam untuk melindungi hidupan liar di Sabah.

“Program ini bersesuaian dengan tema Hari Gajah Sedunia tahun ini iaitu ‘Melindungi habitat gajah untuk hari esok yang mapan’,” katanya.

Mengulas lanjut, Maryati berkata, penyertaan kempen tersebut terbuka kepada semua dan tiga pemenang akan diumumkan dalam masa seminggu selepas kempen berakhir pada 9 Ogos depan.

Jelasnya, pihak taman turut berharap agar melalui kempen ini akan menarik lebih ramai untuk terus “like”, “share” dan “follow” laman Facebook Taman Hidupan Liar Lok Kawi kerana pelbagai aktiviti pendidikan, usaha konservasi serta video kesedaran akan dikongsikan melalui platform tersebut.

“Tujuannya adalah bagi masyarakat awam melakukan tanggungjawab bersama untuk membuat sebaran meluas tentang nilai dan kepentingan hidupan liar di negeri ini.

“Selain itu, laman sosial ini dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang dan merasai sendiri pengalaman sebenar melihat spesis hidupan liar yang terdapat di taman tersebut melalui pelbagai aktiviti antaranya persembahan haiwan dan program cuti sekolah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI