SEBERANG PERAI – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth yang melepas dan membebaskan seorang pengetua sekolah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada 2018.
Hakim Fathiyah Idris menolak rayuan pendakwaan ke atas tertuduh, Zainuren Mohamed, 59, selepas berpuas hati bahawa Hakim Perbicaraan membuat penelitian yang maksima dan sewajarnya atas semua keterangan saksi pendakwaan.
Ketika prosiding, Fathiyah memberitahu wujud percanggahan dalam pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.
“Wujud alegasi siri kejadian amang seksual, tetapi apabila disoal balas mangsa mengakui kejadian-kejadian itu tidak berlaku. Mahkamah Tinggi menyatakan perkara ini hanya boleh dikenal pasti oleh mangsa sendiri, namun mangsa sendiri tidak dapat memastikan perkara berikut.
“Justeru, berlaku percanggahan keterangan dan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya ketika membuat keputusan pada prosiding kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan S. Vikneshwaran.
Di kamar mahkamah, Zainuren yang memakai kemeja coklat dilihat memeluk isterinya selepas hakim selesai membuat keputusan tersebut.
Pada Mei 2022, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan Zainuren atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.
Pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – KOSMO! ONLINE