fbpx

Produk ‘Pigment Booster’ Kak Ell ada racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan mengandungi racun berjadual jenis Betamethasone 17-Valerate.

PUTRAJAYA – Orang ramai digesa untuk tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster berikutan dikesan mengandungi racun berjadual jenis Betamethasone 17-Valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

“Produk mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk kulit muka nipis, berjerawat dan mudah mengalami iritasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik itu diingatkan untuk menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Manakala denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.

Tegasnya, syarikat melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI