fbpx

APMM usir tiga bot nelayan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kru dan bot nelayan Indonesia yang iusir keluar kerana menceroboh perairan Malaysia.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang dinaiki 17 kru warganegara itu yang menceroboh perairan negara pada Khamis lalu dan kelmarin.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot pertama bersama lima kru termasuk tekong diusir oleh Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang dalam rondaan dan penguatkuasaan Op Benteng sekitar perairan Perak di kedudukan 22.88 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada Khamis lalu.

Katanya,  KM Tugau mengusir sebuah lagi bot nelayan bersama enam kru termasuk tekong pada kedudukan 16.4 batu nautika barat laut Pulau Jarak di sini kelmarin.

“Sebuah lagi bot nelayan Indonesia yang dinaiki enam kru termasuk tekong diusir pada kedudukan 24.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak, beberapa jam kemudian.

“Maklumat pengesanan bot kedua nelayan Indonesia telah diterima melalui Pusat Operasi Komponen Maritim, Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia dan pesawat udara Polis Diraja Malaysia semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia bagi memastikannya benar-benar keluar dari perairan negara.

“Empat pengusiran telah dilakukan dalam tempoh 10 hari yang melibatkan pencerobohan oleh bot nelayan Indonesia. Pengusiran pertama berlaku pada 31 Oktober lalu,” tambahnya.

Menurut Shahrizan, pengusiran terhadap nelayan asing itu adalah tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

Katanya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.

Beliau memohon kerjasama orang awam dan komuniti maritim untuk bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi APMM Perak 05 683 8737. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI