KUALA LUMPUR – Individu yang menyebarkan atau menggunakan bahan yang menyentuh sentimen sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bakal berdepan tindakan tegas.
Ini kerana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara tersebut sedang dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat yang sedia maklum oleh pihak MCMC dan PDRM, ia sedang dipantau dan tidak terkecuali terhadap mana-mana individu.
“Tidak kira pelampau itu orang Melayu, Cina, Tamil atau berpangkat tinggi sekalipun. Kalau langgar peraturan, undang-undang, cabar perlembagaan dan menyemai bibit-bibit jahat, tidak terlepas dari diambil tindakan.
“Kelompok ini dilihat sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, Malaysia akan terus terumbang-ambing dan tidak akan stabil sekiranya perkara berkenaan dibiarkan.
“Ini amaran terakhir dari kerajaan! Saya sudah tidak ada pilihan kerana perkara ini sudah puluhan tahun berlarutan,”tegasnya lagi. -KOSMO! ONLINE.