REMBAU – Seorang pekerja swasta lega apabila kereta jenis Proton Wira Aeroback yang lesap di tempat letak kenderaan di tempat kerjanya petang semalam ditemui di susur keluar Tol Sedenak, Kulai, Johor awal pagi tadi.
Muhd. Ihsan Hashim, 31, berkata, dia menyedari keretanya itu hilang ketika waktu rehat sekitar pukul 6.30 petang dan segera membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.
Menurutnya, dia tidak menyangkakan rezekinya masih ada apabila kereta itu telah ditemui semula dalam tempoh kurang 12 jam pencarian menggunakan media sosial.
“Saya dah guna kereta tersebut sejak dua tahun. Sebelum ini kereta terbabit milik abang dan sudahpun berjasa lebih 20 tahun.
“Apabila hilang, saya sangat terkejut dan segera meminta bantuan isteri untuk membuat hebahan melalui Facebook bagi membolehkan orang ramai membantu menyalurkan maklumat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhd. Ihsan berkata, dia menerima panggilan pada pukul 4 pagi daripada seorang anggota polis susulan penemuan kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan susur keluar Plaza Tol Sedenak ketika sekatan jalan raya Ops Covid-19.
“Hasil pemeriksaan polis, keadaan di dalam kereta saya berselerak dan di bahagian kunci kereta juga telah dirosakkan.
“Saya bersyukur kerana kereta yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja dari Semerbuk (Rembau) ke Pulau Sebang ini dijumpai semula,” ujarnya. – K! ONLINE