KUALA LUMPUR – Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiba sekitar pukul 8.30 malam tadi di pekarangan Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Turut kelihatan hadir, Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilihat memasuki pekarangan menara itu kira-kira pukul 8.10 malam.
Sebelum itu, beberapa pemimpin parti gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) dilihat memasuki pekarangan lobi seawal pukul 7.50 petang bagi menghadiri mesyuarat yang sama.
Antaranya adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak, Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Difahamkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga hadir ke mesyuarat ini.
Petugas media telah berada di pekarangan lobi Menara Dato’ Onn sejak pukul 7 malam bagi membuat liputan mengenai mesyuarat berkenaan. – KOSMO! ONLINE