JAKARTA – Seorang wanita di Bogor, wilayah Jawa Barat yang tular kerana hilang sehari selepas dia berkahwin akhirnya ditemui di Bandung kerana lari mengikut bekas teman lelaki, lapor program berita Liputan6 semalam.
Anggi Anggraeni, 22, dilaporkan hilang minggu lalu ketika keluar membeli ayam geprek di sebuah kedai tidak jauh dari rumahnya, sehari selepas dia berkahwin.
Suaminya, Fahmi Husaini membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya dengan ramai netizen di Indonesia turut bimbang akan keselamatan wanita tersebut.
Seminggu selepas kehilangannya, Anggi akhirnya ditemui di Bandung dan dikatakan lari mengikut bekas kekasihnya.
Kesal dengan kejadian tersebut, Fahmi bertindak menceraikan wanita itu di balai polis dengan disaksikan banyak pihak.
“Alhamdulillah, mengenai kehilangan isteri saya, Anggi, dia sudah ditemui dan saya sudah menyelesaikannya dengan keluarga.
“Dengan itu, saya ingin memberitahu bahawa Anggi bukan lagi isteri saya,” kata Fahmi.
Perkembangan terbaharu itu membuatkan netizen yang sebelum ini simpati bertukar menjadi marah dengan ramai mengecam tindakan wanita berkenaan.
“Sudah ada yang halal (suami), masih mencari yang haram (bekas kekasih),” kata seorang pengguna media sosial.
“Sebab itulah saya amat berhati-hati jika menemui wanita yang masih belum dapat melupakan bekas kekasihnya,” kata seorang netizen lain. – Agensi