fbpx

Minyak masak peket kembali dicatu, stok kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANG MERDUWANI menunjukkan minyak masak peket yang dibelinya di sebuah pasar mini di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Isu kekura­ngan minyak masak peket kembali menghantui pengguna berikutan barangan itu sukar di dapati di premis perniagaan sejak minggu lalu.

Tinjauan mendapati walaupun harga jualan pada kadar biasa iaitu RM2.50 sepeket, namun pengguna mula tertekan berikutan peniaga mengenakan catuan dengan hanya membenarkan tiga peket dibeli dalam satu-satu masa.

Peniaga khususnya di kedai borong atau pasar mini turut mengehadkan bilangan jualan minyak masak peket harian mereka membuatkan pengguna khususnya peniaga kecil berasaskan makanan bermasak terpaksa mencari di lokasi lain.

Seorang peniaga kedai makan, Dang Merduwani Tajuddin, 38, berkata, sejak seminggu lalu, dia mengalami masalah mendapatkan minyak masak peket untuk penyediaan menu lauk-pauk di sebuah medan selera di sini.

“Saya memerlukan lebih kurang 10 peket minyak masak sehari dan jika gagal mendapatkannya, sudah tentu perniagaan saya akan terjejas.

“Disebabkan ia dicatu saya terpaksa bergilir-gilir dengan pembantu mengunjungi seba­nyak mungkin premis untuk mendapatkannya,” katanya.

Peniaga kuih, Salmah Rahim, 48, dari Taman Ria Jaya, di sini berkata, barangan itu mula sukar didapati minggu lalu dan jika ada pun peniaga tidak membenarkan ia dibeli dalam kuantiti banyak seperti kebiasaan.

“Di kedai runcit berdekatan kediaman saya, minyak peket itu hanya dibenarkan dibeli dua peket seorang.

“Walaupun saya merayu me­ngatakan barang itu perlu untuk penyediaan kuih-muih, namun peniaga beri alasan dia kehabisan stok kerana bekalan dihantar pemborong sedikit,” katanya.

Peniaga kedai makan di Taman Arked, di sini, Salimah Salim, 39, berkata, dia hairan ke­rana minyak masak peket dan pelbagai barangan subsidi lain sentiasa mengalami kekurangan bekalan di pasaran.

“Sepatutnya pihak berkuasa memantau keadaan ini kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan seharian pengguna yang telah terbeban dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI