JERANTUT – Penduduk Felda Jengka 24 di sini kini dihimpit kebimbangan dengan kejadian pecah rumah yang semakin menjadi-jadi di kawasan mereka sejak kebelakangan ini.
Situasi itu menyebabkan ada penduduk yang takut untuk meninggalkan rumah bagi melakukan aktiviti harian termasuk untuk keluar bekerja.
Seorang penduduk, Salmah Abd. Latif, 69, berkata, dia tidak menyangka turut menjadi mangsa kejadian pecah rumah baru-baru ini.
“Sebelum ini saya hanya dengar kejadian menimpa penduduk dan kini saya sendiri yang mengalaminya.
“Kami risau, siapa pula yang akan menjadi mangsa selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Salmah, kejadian berlaku sebelum Hari Raya Aidiladha lalu menyebabkan dia kehilangan tiga bentuk cincin bernilai kira-kira RM3,500.
Katanya, kejadian itu berlaku semasa dia bersama ahli keluarga tiada di rumah.
“Suami yang pulang ke rumah bertanyakan sama ada saya sudah balik atau belum. Dia juga beritahu pintu rumah renggang dengan tombol pintu tertanggal.
“Suami periksa laci pakaian dalam bilik dan mendapati semua cincin yang saya letak dalam satu bekas hilang. Namun, duit kertas RM1 dan RM5 yang disimpan suami untuk derma tidak pula diambil,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mahani Muhamad, 60, berkata, dia tidak sangka turut menjadi mangsa pecah rumah apabila tingkap rumahnya diumpil.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM1,500 selepas penjenayah melarikan tabung milik anak lelakinya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud memberitahu, kejadian pecah rumah yang berlaku menyebabkan peneroka mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
“Sebelum ini aktiviti rondaan memang kerap dilakukan, namun terhenti sejak beberapa tahun lalu. Jadi, kita akan wujudkan semula dan mengharapkan juga penglibatan orang muda,” ujar Razak.