KUALA SELANGOR – Lebih 500 penduduk Kampung Dato Adam, Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang di sini, membantah pelaksanaan pembinaan pencawang telekomunikasi di kawasan padang bola sepak kampung itu.
Penduduk, Johari Abdullah, 39, berkata, kerja pembinaan pencawang bukan sahaja menggangu aktiviti riadah malah mengakibatkan permukaan padang rosak dan ditakungi air.
“Kami kesal padang yang kami selenggara dengan baik bertambah teruk kerana kemasukan jentera melaksanakan kerja pembinaan itu.
“Apa saya bimbangkan juga adalah kesan negatif radiasi kesihatan susulan terdapat perumahan hanya 50 meter dari padang berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dato Adam, Shahrezza Abu Kassim berkata, kerja pembinaan berkenaan mula dikesan sejak Selasa minggu lalu tanpa pemakluman kepada penduduk.
“Saya kecewa melihat permukaan padang rosak apatah lagi bercadang mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak pada Ahad ini,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Mohd. Shamsudin Lias berkata, satu perjumpaan diadakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan pihak kontraktor yang melaksanakan kerja berkenaan.
“Penduduk akan membuat laporan polis berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan selain akan menghantar memorandum bantahan termasuk kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya. -KOSMO!OLINE