TOKYO – Mayat seorang lelaki tanpa kepala ditemui di sebuah ‘hotel cinta’ di Jepun, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Akhbar The Japan Times melaporkan, lelaki dikenal pasti polis sebagai Hitoshi Ura itu ditemui mati pada 2 Julai lalu di Saopporo, utara pulau Hokkaido.
Ura, 64, dilihat memasuki hotel itu bersama seorang individu lain pukul 10.50 malam (waktu tempatan) pada 1 Julai lalu, kata penyambut tetamu kepada polis.
Kira-kira tiga jam kemudian, penyambut tetamu itu diberitahu bahawa individu itu akan meninggalkan hotel terlebih dahulu dan Ura berada bersendirian di dalam biliknya.
Keesokan harinya, polis menemui mayat Ura dalam keadaan telanjang di dalam bilik air dengan kepala mangsa dipenggal.
Menurut polis, punca kematian adalah kejutan hemoragik iaitu pembuluh darah dalam otak pecah.
Akhbar The Asahi melaporkan, individu yang menemani Ura ke hotel itu memiliki saiz badan kecil. Dia memakai topi hitam lebar, berbaju gelap dan membawa beg pakaian besar.
Telefon bimbit dan barangan peribadi Ura juga dilaporkan hilang. Pada 4 Julai lalu, kereta mangsa ditemui di tempat letak kereta.
“Siasatan masih berjalan. Kami cuba mengumpul sebanyak mungkin maklumat dengan harapan ia akan membawa kepada penahanan suspek,” kata detektif di Balai Polis Sapporo Chuo, Daiki Kanamori. – Agensi