NEW DELHI, India – Empat lelaki tanpa perikemanusiaan memukul seorang wanita berusia 45 tahun hingga mati dalam pertikaian mengenai tanah di negeri Bihar, lapor laman berita Wion News semalam.
Polis berkata, pihaknya membuka kertas siasatan terhadap empat suspek itu yang melarikan diri selepas menyerang mangsa.
Kejadian berlaku petang Sabtu lalu ketika mangsa menabur benih padi di sawahnya yang terletak di Kampung Mehandipur.
Tidak lama kemudian, empat lelaki menaiki basikal menghampiri mangsa dan menyerangnya.
“Empat lelaki yang menaiki dua basikal membelasah wanita itu ketika dia bekerja di sawah. Mereka mencungkil matanya dengan pisau, memotong lidahnya dan mencacatkan kemaluannya.
“Dia meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata seorang saksi kejadian.
Ahli keluarga mangsa menuduh lima jiran mereka dikenali sebagai Mahendra Singh, Rulo Singh, Rajdev Singh, Flungi Singh dan Shyam Kumar Singh sebagai suspek.
“Keluarga mangsa terlibat dalam pertikaian lama mengenai sebahagian daripada tanah berukuran 12,541 meter persegi dengan lima jiran mereka.
“Sembilan tahun lalu, suami dan abang ipar mangsa dibunuh kerana pertikaian yang sama,” tambah polis. – Agensi