SHAH ALAM – Senaskhah al-Quran tulisan tangan dianggarkan berusia 200 tahun menjadi tumpuan pengunjung Pameran Semarak Warisan Bangsa di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) 1 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.
Menurut Ketua Timbalan Pustakawan, Azizi Jantan, kita al-Quran tersebut adalah sumbangan seorang pensyarah UiTM yang diterimanya daripada seseorang yang mempunyai susur galur keturunan dari Bukit Tinggi Sumatera.
“Berdasarkan kualiti kertas, ia ditulis di atas kertas buatan tempatan dengan tulisan asal al-Quran beraksara arab.
“Sejak lebih seminggu dipamerkan naskah al-Quran itu menjadi perhatian pengunjung terutama pelajar dan kakitangan UiTM,”katanya ketika ditemui di PTAR 1 UiTM di sini hari ini.
Jelas Azizi, naskah al-Quran itu turut membuktikan masyarakat alam Melayu pada dua abad lalu mampu menghasilkan kertas berkualiti yang dikenali sebagai kertas daluang.
Ujar beliau, pameran bermula 3 hingga 31 Julai ini turut mempamerkan lebih 30 manuskrip lama berusia lebih 100 tahun. seperti Hikayat Hang Tuah dan Syair Burung Nuri.
“Pameran Al-Quran dan manuskrip lama yang dibantu Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) ini adalah bukti ketamadunan dunia Melayu dan nusantara telah lama wujud.
“Kita turut menganjurkan pertandingan Seni Khat Jawi gaya nasakh dan thuluth yang menawarkan hadiah utama wang tunai RM800 bagi memeriahkan lagi pameran itu,” katanya. -KOSMO!ONLINE