BANGKOK – Sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia dan 27 lagi cedera dalam kemalangan sebuah bas di wilayah Sisaket, timur laut Thailand, lapor laman berita Thaiger.
Kemalangan berlaku pagi kelmarin apabila bas yang membawa kumpulan pelari maraton itu terbalik dan terjunam ke dalam hutan tebal di jalan pergunungan yang curam.
Pelari maraton dari Kolej Teknologi Luang Pu Suang Wat Phrai Phatthana itu bertolak sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Bas itu sedang melalui jalan gunung berhampiran Phaya Krupri Viewpoint apabila nahas berlaku.
Identiti tiga mangsa yang terkorban belum dikenal pasti setakat ini, tetapi salah seorang daripada mereka merupakan wanita berusia 52 tahun.
Penumpang yang cedera dirawat di kemudahan perubatan berdekatan termasuk Hospital Sisaket dan Hospital Phu Sing.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan itu. – Agensi