BANDAR RAYA NEW YORK – Hujan lebat dan banjir melanda beberapa negeri di timur laut Amerika Syarikat (AS), sehari selepas banjir kilat menghanyutkan lebuh raya serta menyebabkan seorang penduduk di negeri New York terkorban.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) melaporkan, sebahagian kawasan di negeri New York, New Jersey, Connecticut, Pennsylvania, Massachusetts dan Vermont berada di bawah amaran banjir.
Ia berikutan negeri-negeri di rantau itu mengalami hujan lebat serta banjir kilat yang mengancam nyawa.
Gabenor New York, Kathy Hochul mengisytiharkan darurat bencana di dua daerah susulan hujan lebat kelmarin yang menyaksikan jalan raya bertukar menjadi sungai mengalir deras dan menenggelamkan jambatan serta menyebabkan trafik lumpuh.
Pejabat Pengurusan Kecemasan Orange County semalam mengesahkan bahawa seorang wanita berusia 35 tahun meninggal dunia di Highland Falls, dekat Lembah Hudson di mana ‘banjir bersejarah’ menyebabkan kerosakan besar.
Menurut Hochul, mangsa mati akibat dihanyut air deras di lembah itu ketika cuba meninggalkan rumahnya yang rosak bersama anjingnya.
“Tunang mangsa melihat situasi dia dihanyutkan air deras,” kata Hochul.
Hochul berkata kelmarin bahawa taburan hujan purata 200 milimeter menyebabkan ‘banjir kilat yang mengancam nyawa penduduk’.
Petang kelmarin juga, lebih 12,000 pelanggan terputus bekalan elektrik di negeri itu, sebelum berkurangan kepada 3,800 orang tengah hari semalam.
Perkhidmatan kereta api Amtrak digantung antara Bandar Raya New York dan ibu negerinya, Albany disebabkan cuaca buruk setakat pukul 5.30 pagi semalam, kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – AFP