fbpx

Penuntut kolej mengaku rogol, amang seksual pelajar madrasah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar madrasah, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh SYAFEEW AHMAD

MELAKA – Seorang penuntut kolej mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar madrasah, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Rasyid Ruslan, 19, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah merogol seorang perempuan berusia 15 tahun 20 hari kira-kira pukul 1.30 tengah hari di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Jun tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa sama pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa telah pergi ke hotel berkenaan seorang diri selepas dikatakan tidak mahu ke madrasah dan telah meminta bantuan tertuduh untuk mendaftar masuk menggunakan namanya ekoran mangsa masih di bawah umur.

Tertuduh kemudian telah menemani mangsa di dalam bilik hotel berkenaan sebelum memujuknya untuk melakukan hubungan seks.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Zulkifli Awang merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh telah digantung dari kolejnya dan kini hanya bekerja sambilan di kedai runcit, selain ia merupakan kesalahan pertama dan pemuda itu telahpun insaf.

Tambahnya, pihak kolej tempat tertuduh menyambung pengajian juga bersetuju memberikan peluang kedua kepadanya untuk meneruskan kursus diambil sekiranya kes mahkamah itu dapat diselesaikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon agar pertimbangan hukuman dibuat lebih kepada kepentingan awam dan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan penjamin beserta jaminan sebanyak RM7,000 untuk tiga tahun.

Hukuman itu adalah mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah iaitu peruntukan untuk perlepasan di bawah satu bon berkelakuan baik atas dasar tertuduh adalah pesalah pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI