SERDANG – Kolabrasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi program Usahawantani Putra-Perhebat memartabatkan sosioekonomi bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerjasama itu yang dimulakan pada Mac lalu adalah sebahagian usaha dalam melahirkan lebih ramai usahawanita dan usahawan tani selain memastikan keterjaminan makanan dapat dipenuhi.
“Di Perhebat kita ada pelbagai latihan yang dikemukakan dan kita tahu bahawa majoriti anggota pertahanan yang mahu menamatkan perkhidmatan selaku veteran ATM memilih bidang keusahawanan.
“Antaranya adalah bidang berkaitan dengan pertanian sama ada melibatkan tanaman mahupun penternakan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pertanian Putra, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adly berkata, program tersebut ditawarkan kepada dua kategori iaitu bakal pesara dengan latihan selama tiga hingga lima bulan termasuk veteran ATM yang dijalankan secara berkelompok selama enam bulan.
“Kalau kita lihat untuk fasa pertama ada 20 orang yang mengusahakan beberapa tanaman iaitu cili, terung, ‘sun melon’, tembikai susu dan juga penternakan seperti puyuh dan ikan keli.
“Jadi, hari ini kita boleh melihat sebahagian daripada hasil yang telah mereka usahakan sebelum dipasarkan di Putra Mart di sini. Usaha ini sekali gus dapat meningkatkan sosioekonomi anggota veteran,” ujarnya.
Pada masa sama, Adly berkata, latihan kepada mereka yang terlibat akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan ‘upskill’ dan ‘reskill’.
“Mungkin kita akan perbaiki model latihan kita supaya ia bukan sahaja satu segmen pertanian tetapi mungkin lebih kepada multi skill (kemahiran pelbagai).
“Jadi satu orang itu dia boleh ada tiga atau empat kemahiran. Buat masa ini kita gunakan model pertanian dulu,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas insiden letupan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Negeri Sembilan, Adly berkata, maklumat penuh akan diperolehi selepas mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dijangka diadakan pada minggu depan.
“Kebiasaannya, selepas mesyuarat itu, pihak ATM akan kemukakan laporan terperinci berhubung insiden terbabit. Kita akan maklumkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dan melalui proses yang sama dari segi pampasan dan seumpamanya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan TUDM mengesahkan berlaku insiden kemalangan melibatkan tiga anggotanya ketika menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar bulan lalu. – KOSMO! ONLINE