KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga barang secara melampau sehingga hujung tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jaminan itu bersandarkan hasil libat urus melibatkan 30 pemain industri yang diadakan di kementeriannya baru-baru ini.
Katanya, jika berlaku sebarang kenaikan, pihak industri akan kembali mengadakan rundingan dengan kerajaan untuk melihat rasional berhubung perkara itu.
“Setakat ini, tidak berlaku sebarang kenaikan melibatkan barangan asas bersubsidi. Bagi barangan yang tidak ada subsidi, kita kawal harganya setiap hari.
“Tidak ada negara di dunia ini yang mengawal semua harga barang. Apa yang ada adalah kerajaan bertanggungjawab mengawal beberapa barang asas rakyat. Itu yang kita buat termasuk Malaysia.
“Jadi, jika berlaku fenomena bencana alam, banjir besar dan sebagainya, kita akan pastikan pada masa itu tindakan apa yang perlu dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin turut menafikan dakwaan akan berlakunya kenaikan harga barang pada Ogos sebagaimana yang tular ketika ini.
Terdahulu media melaporkan Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) menjangkakan harga barangan pengguna bakal meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE