NILAI – Seorang remaja lelaki maut manakala lima lagi parah dan empat cedera ringan dalam kemalangan 10 buah motosikal di kilometer (KM) 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Mat Ghani Late berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa semua penunggang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.
“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku laafar Seremban untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut turut dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen
41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya yang dipercayai berlaku di lebuh raya tersebut.-KOSMO! ONLINE.