KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol dan mencederakan seorang wanita bulan lalu.
Tertuduh, Datuk Razali Daud, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan cara menakutkan Fauzilah Mohamed,53, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.
Perbuatan itu dilakukan di berhampiran pusat jualan kereta di Jalan Long Yunus di sini kira-kira pukul 11 pagi pada 28 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Fauzilah pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Pertuduhan bagi kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Ahmad Adha memohon ikat jamin yang rendah kerana anak guamnya perlu menjaga ibu yang menghidap penyakit parkinson dan diabetis.
“Isteri anak guam saya juga tidak bekerja malah dia juga menghidap sakit darah tinggi dan migrain.
“Selain itu, anak guam saya pula mempunyai penyakit kebimbangan melampau dan sakit jantung,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Disember depan.
Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – K! ONLINE