ALOR GAJAH – Dua anggota bomba terpaksa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan operasi pemadaman kebakaran sebuah madrasah tahfiz di Taboh Naning, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Zamri Omar berkata, kedua-dua anggota itu bagaimanapun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Operasi pemadam tadi dapat dilakukan dengan baik kerana pasukan tidak mengalami masalah berkaitan tekanan air, namun berlaku kecemasan kepada dua anggota yang mengalami sesak nafas.
“Kedua-duanya telah dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kini telah stabil serta tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.45 tengah hari dan seramai 18 anggota bersama-sama tiga jentera dan sebuah Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setiba dilokasi kita dapati sebuah madrasah lelaki yang menempatkan 10 pelajar telah terbakar kira-kira 45 peratus.
“Ketika kejadian kesemua pelajar berusia sembilan hingga 20 tahun dikatakan sedang berehat di asrama masing-masing dan sempat menyelamatkan diri,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kebakaran tercetus di ruangan kelas di bahagian hadapan bangunan dan api merebak dengan cepat susulan sebahagian daripada struktur dibina menggunakan kayu.
Katanya, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan. -KOSMO! ONLINE.