WASHINGTON – Program komputer kecerdasan buatan (AI), Chatbot mencipta sejarah apabila mengendalikan majlis perkahwinan di negeri Colorado, Amerika Syarikat bulan lalu, lapor portal berita New York Post semalam.
Pasangan Reece Wiench dan Deyton Truitt meraikan perkahwinan mereka di sebuah gereja di Morrison, Colorado dan mereka bersetuju menggunakan teknologi masa depan.
Mereka menggunakan Chatbot yang dikuasakan oleh ChatGPT bagi menggantikan paderi dalam majlis perkahwinan.
“Terima kasih semua kerana menyertai kami untuk meraikan cinta dan perpaduan yang luar biasa, Reece Wiench dan Deyton Truitt,” kata chatbot itu pada majlis perkahwinan pasangan itu.
Wiench dan Truitt berkata, mereka merancang perkahwinan mereka dalam masa lima hari sahaja dan menjelaskan bahawa suaminya akan ditempatkan untuk bertugas oleh pihak tentera, manakala Wiench mahu menyertainya selepas latihan asas.
Colorado tidak memerlukan pegawai perkahwinan berlesen untuk mengiktiraf majlis perkahwinan.
Sehubungan itu, bapa pengantin perempuan, Stephen Wiench, mempunyai idea untuk menggunakan chatbot yang lebih mudah dan lebih murah dalam majlis perkahwinan anaknya.
Chatbot pada mulanya teragak-agak untuk menjalankan majlis itu, gurau portal berita yang juga stesen televisyen, CBS Colorado. – Agensi