ISLAM menggalakkan umatnya untuk sentiasa membantu sesama manusia tanpa lelah dan melangkaui sempadan.
Justeru, sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini, sekumpulan pertubuhan telah bersatu untuk terbang ke bumi India bagi sama-sama membantu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat Muslim di sana.
Program Kembara Qurban itu merupakan anjuran Persatuan Perintis Malabari Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Indian Muslim Community Organization (iMcom), Maahad Tahfiz Dhiya’ul Islah (MTDI) dan Malabari Muslim Jamaat (MMJ).
Pengarah dan Ketua Misi, Ahmad Rosman Abdul Kadir berkata, misi korban itu adalah kali ke-13 diadakan.
“Bagi tahun ini, kami berjaya mengorbankan sebanyak 84 ekor lembu dan 51 ekor kambing di dua lokasi di India.
“Misi ini disertai seramai 10 orang sukarelawan dan ada antara mereka yang pernah turut serta bersama kami sebelum ini dan ada juga yang baru pertama kali mengikuti program ini untuk mendapatkan pengalaman,” katanya kepada K2.
Misi dimulakan pada 28 Jun lalu yang mana kesemua sukarelawan tiba di lapangan terbang Chennai, India sebelum menuju ke lokasi pertama bagi ibadah tersebut iaitu di Kalpakkam, Tamil Nadu.
Para sukarelawan berpeluang melawat kawasan dan juga beramah mesra bersama penduduk tempatan sebelum memulakan ibadah korban pada keesokan harinya.
Selepas menunaikan solat sunat Aidiladha, pasukan memulakan misi dengan mengedarkan gula-gula kepada kanak-kanak dan masyarakat setempat.
“Selepas itu, kami terus menuju ke lokasi penyembelihan dan memulakan misi hari pertama dengan mengorbankan 44 ekor lembu dan 51 ekor kambing.
“Kami mewakilkan pengedaran daging tersebut kepada kariah masjid di Kalpakkam memandangkan kesuntukan masa. Ini kerana, kami perlu bergegas ke lokasi kedua memandangkan jarak lokasi pertama dengan lokasi kedua sekitar tujuh jam,” kongsi Rosman.
Setibanya di Nagore yang merupakan lokasi kedua, kesemua sukarelawan tidur sekejap selama satu jam sebelum memulakan misi sekitar pukul 6.30 pagi.
Bagi hari kedua, 20 ekor lembu sahaja yang dapat dikorbankan memandangkan misi perlu diselesaikan sebelum solat Jumaat.
“Selepas solat Jumaat, kami terus edarkan daging korban kepada kira-kira 350 keluarga Muslim di situ,” kata Rosman.
Kemudian, Rosman dan pasukannya memulakan misi hari ketiga dengan mengorbankan 20 ekor lembu lagi selain membuat agihan pek makanan berisi tepung dan rempah ratus kepada golongan asnaf serta turut memberi bantuan kewangan kepada pesakit kanser, buah pinggang dan juga bantuan pembelajaran kepada anak-anak miskin.
“Lebih 100 pek makanan berisi makanan ruji masyarakat di situ telah diedarkan yang mana nilai satu pek itu bersamaan 500 rupee atau RM26.
“Ia dianggarkan mampu bertahan sekitar tiga minggu. Secara total, kami telah mengagihkan bantuan kepada 2,500 buah keluarga miskin di dua lokasi di Tamil Nadu itu,” katanya.