fbpx

Tinggal kerja tetap demi cintakan lukisan mural

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD. HANIF nekad meninggalkan kerjaya sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej swasta kerana terlalu meminati lukisan mural.

TIDAK pernah terlintas di fikiran lelaki kelahiran Muar, Johor itu bahawa minatnya melukis pada dinding sekolah beberapa tahun lalu bakal merubah hidupnya kini.

Bermula dengan hanya suka-suka dan sebagai hobi membuatkan Md. Hanif Md. Haris tidak pernah terfikir untuk bergelar sebagai pelukis mural.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia juga tidak pernah menyangka bahawa punca pendapatan dan mata pencarian utamanya kini adalah menerusi hasil sebagai pelukis mural.

“Sebenarnya minat melukis dan menconteng dinding memang wujud sejak kecil lagi. Hasil pertama saya ialah semasa menuntut di Sekolah Menengah Agama Arab Lughatul Quran, Muar.

“Pun begitu, selepas tamat pengajian, aktiviti melukis pada dinding itu mula kurang rentetan komitmen dan tuntutan kerja sebagai serta tenaga pengajar di sebuah kolej swasta di Cyberjaya, Selangor,” ujarnya saat membuka bicara bersama iGen baru-baru ini.

Meneruskan perkongsian, Md. Hanif yang kini menetap di Pasir Gudang, Johor menyatakan, dia terpaksa ‘cuci tangan’ seketika daripada segala aktiviti dan kerja-kerja melukis mural kerana mahu fokus terhadap tugasnya.

Jelasnya, bukan sahaja menjawat jawatan sebagai pendidik, pada masa sama dia turut menjadi animator dan penyunting video serta memerlukan masa yang lebih untuk itu.

“Pun begitu, rezeki saya sebagai tenaga pengajar di Cyberjaya dalam jurusan kesan khas visual (VFX) tidak lama dan saya mengambil keputusan untuk fokus secara sepenuh masa sebagai pelukis mural.

“Antara inspirasi yang menguatkan lagi semangat dan keputusan saya ke arah itu adalah dorongan dan sokongan berterusan daripada keluarga, isteri dan anak-anak,” katanya.

 

BAGI anak muda berbakat besar ini, faktor cuaca menjadi ‘musuh’ utama kepada kerjaya melukis mural.

 

Pada masa sama, keputusan untuk kembali aktif melukis mural pada 2018 lalu dibuat apabila melihat hasil-hasil lukisan pelukis lain, sekali gus memberikan semangat buatnya untuk terus beraksi.

Akui bapa kepada dua cahaya mata itu, melukis mural adalah kerja yang seronok dan tidak memeningkan kepala kerana kita bebas beraksi serta berkarya.

Bercerita mengenai konsep, kebiasaannya Md. Hanif akan mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan itu sendiri dan tidak kurang juga yang bertanyakan pendapat mengikut tema yang bersesuaian.

Jelasnya, antara konsep dan tema yang pernah dihasilkan termasuklah pemandangan air terjun, hidupan laut, ruang angkasa, kartun, watak adiwira, mural lantai, mural tiga dimensi (3D) dan beberapa yang lain.

Ditebak mengenai cabaran utama sepanjang bergelar pelukis mural, Md. Hanif memberitahu, faktor cuaca merupakan salah satu rintangan yang tidak dapat dielakkan.

“Bila berlakunya hujan, kerja mural saya jadi tertangguh disebabkan keadaan permukaan dinding yang basah.

“Pernah satu ketika, saya sedang sibuk dan fokus melukis, hujan berlaku secara tiba-tiba dengan lebatnya sekali gus menyebabkan cat pada dinding tersebut mengalir serta terhakis semula,” ujarnya yang hampir mahu menangis tatkala mengenangkan perkara tersebut dan menganggap itu sebagai dugaan serta rahmat Allah.

 

KEPUASAN tidak terhingga bagi Md. Hanif, apabila hasil kerjanya mendapat pujian ramai, selain menjadi tarikan untuk orang ramai bergambar.

 

Tambahnya, struktur dinding yang bermasalah dari segi simen atau batu yang digunakan, selain cat lama turut menjadi antara cabaran dalam profesion sebagai seorang pelukis mural.

Ditanya mengenai berapa lama masa diambil bagi menyiapkan sesebuah lukisan mural, lelaki berzodiak Taurus berumur 36 tahun itu menyatakan, ia dapat disiapkan dalam tempoh dua hari hingga seminggu.

Ia katanya, bergantung kepada keluasan serta struktur sesuatu dinding.

“Kepuasan yang saya dapat apabila hasil lukisan yang dihasilkan dilihat dan dipuji orang ramai selain menjadi tarikan untuk mereka merakamkan gambar kenangan.

“Alhamdulillah, pendapatan bergelar pelukis mural juga berbaloi hingga boleh memperolehi RM2,000 ke RM3,000 bagi sebuah lukisan,” ujarnya yang pernah menerima anugerah Pensyarah Terbaik menerusi Malaysian Youth Video Awards 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI