fbpx

Saingan sengit warnai MXKIDS MMC 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AQIL PUTRA (tengah) muncul juara bagi kategori MX85cc pada pusingan pertama MMC 2023 di Track Motocross Padang Ibu, Pulau Pinang kelmarin.

KEJAYAAN Muhammad Aqil Putra Nizam meraih kemenangan pada pusingan pertama Malaysian Motocross Championship (MMC 2023) bagi kategori MX85cc nyata mengejutkan jurulatihnya, Hazlanshah Mohd Noor.

Menurut Hazlanshah, kejayaan Aqil Putra menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada awal pusingan pertama ini tidak dijangka kerana dia sekadar meraih tempat ketiga pada kemunculan sulungnya di pusingan terakhir MMC 2022 di Bandar Tenggara, Johor tahun lalu.

“Ini nyata memberikan satu motivasi yang baik buat Aqil Putra untuk mengharungi pusingan seterusnya. Kami jangka Aqil Putra hanya mampu menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik kerana saingan sengit untuk kategori MX85cc yang terdiri daripada pelumba-pelumba senior.

“Namun (kelmarin), dia menunjukkan prestasi membanggakan saya dan semua pihak apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

“Ini satu keyakinan yang bagus untuk kami teruskan dan bawa ke perlumbaan pusingan kedua di Ijok Selangor nanti” katanya selepas tamat perlumbaan di Track Motocross Padang Ibu, Pulau Pinang kelmarin.

Aqil Putra yang juga merupakan juara bagi MX65cc pada MMC 2022 berjaya mengekang cabaran dua lagi penncabarnya, Luke Allan Wong dari Singapura yang meraih tempat kedua, manaka Muhammad Nazhan Mizan bin Borhan melengkapkan kedudukan podium.

Pada perlumbaan tersebut seramai 131 orang pelumba menyertai pusingan pertama MMC 2023 di mana 69 orang adalah terdiri daripada pelumba cilik dan 15 orang pelumba baru bagi sub kategori rookie 50cc dan 65cc telah menyertainya.

Sementara itu, dalam kategori MX50cc, Muhammad Adam Syakir Mohd Shukri meraih kemenangan sementara tempat kedua dimenangi Khairul Izqi Saipudin, manakala tempat ketiga menjadi milik Asyir Anaqi Fazril.

Bagi kategori MX65cc, Muhammad Zill Qayyim bin Muhammad muncul juara pada perlumbaan berkenaan menafikan cabaran sengit
Muhammad Afiq Darwisy Shahril di kedudukan kedua sementara tempat ketiga jadi milik Muhammad Rayyan Arif.

Pengerusi MXKIDS Malaysia, Fazril Zabidi menjelaskan, pusingan seterusnya dijangka berlangsung pada 16 dan 17 September nanti di Ijok, Selangor dan penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 013-3600802.

“Saya berharap lebih ramai lagi pelumba-pelumba baru datang menyertai MMC 2023 dan merasai sendiri kejohanan kebangsaan ini,” katanya.

AKSI pelumba cilik yang bersaing pada pusingan pertama saingan MXKIDS pada MMC 2023 di Pulau Pinang kelmarin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI