KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila berkunjung ke kawasan yang bukan ‘kebiasaan’.
Baginda juga turut mengingatkan agar orang ramai tidak menyalahkan mana-mana pihak berkaitan kejadian kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lalu.
Titah baginda, kejadian bencana alam sedemikian boleh berlaku di mana sekali pun, justeru orang ramai diingatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengunjungi kawasan baharu.
“Saya harap berhati-hatilah lain kali, kalau hendak pergi tempat yang kita tidak kenal tempatnya, elok ambil periksa dahulu sebelum bawa keluarga ke tempat baharu. Ya, itulah peringatan saya,” titah baginda selepas berkenan mencemar duli melawat waris mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kemaman di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 itu disambut ahli keluarga mangsa iaitu ibu, bapa dan adik beradik Azizah Eiyi, 40, serta adik beradik Karim Abdullah, 39.
Sempena kunjungan itu, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa selain turut berkenan untuk bersama di dalam majlis tahlil yang diadakan dengan kehadiran kira-kira 300 orang penduduk Felda Lepar Hilir 3.
Pada 4 Julai lalu, tujuh sekeluarga iaitu Azizah, Karim, dan lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang kubur.
Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada keesokan harinya manakala mangsa kesembilan Muhammad Fikri Saliman, 24, pada Sabtu lalu di Batu Pahat, Johor.
Seorang lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, bagaimanapun masih belum ditemui setakat ini. – KOSMO! ONLINE