SEBERANG PERAI – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memaklumkan beliau belum dipanggil polis untuk memberikan keterangan berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum), hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kerjasama sepenuhnya akan diberikan sekiranya diperlukan.
“Bila anda dah terjemah salah, kenapa nak salahkan saya pula?
“Kita faham kalau anda tidak faham bahasa Mandarin, tetapi janganlah dengan sengaja buat terjemahan silap supaya boleh jadikannya sebagai senjata politik, untuk menjejaskan imej orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung beberapa laporan polis yang dibuat berkait perkara terbabit.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya dan menghulurkan sumbangan RM200,000 bagi pemasangan alat pendingin hawa di bilik guru sekolah itu.
Tambahnya, buat masa ini, beliau tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal terbabit.
Semalam, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya tersebut. – KOSMO! ONLINE