KUALA LUMPUR – Selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Batu Pahat, Johor bulan lalu, pelawak Achey mendedahkan sudahmenjalani pembedahan masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc.
Katanya, antara sebab dia menghidap masalah kesihatan tersebut adalah selalu kerana membawa beban yang berat seperti mendukung anaknya, Tiara.
“Puncanya adalah saya banyak angkat benda berat. Saya ada kedai motor dan kadang-kadang motor pelanggan saya selalu tolak naik ke kereta pacuan roda 4×4.
“Anak saya pula sekarang semakin semangat dengan berat 30 kilogram (kg). Jadi, saya selalu dukung naik sehingga tingkat tiga.
“Bukanlah mahu salahkan Tiara, tetapi memang doktor cakap itu antara salah satu punca,” ujarnya kepada Kosmo! Online ketika sesi fotografi filem Mat Tudung Begins.
Achey atau nama lengkapnya Mohd. Nasir Hamzah bagaimanapun memaklumkan keadaannya semakin membaik, selain perlu menjalani rawatan fisioterapi secara berkala.
“Sekarang sudah kembali okey. Namun, setiap pagi saya harus menjalani fisioterapi sama ada berjumpa doktor atau buat sendiri di rumah.
“Saya punya tidak begitu teruk cuma membengkak sedikit, tetapi kebas setiap masa walaupun tidak buat apa-apa,” katanya.
Katanya lagi, walaupun kerap menerima tawaran melakukan babak lasak, pelantun lagu Sakit itu perlu mengurangkan aktiviti tersebut demi menjaga tulang rawannya.
“Selepas ini benda-benda lasak saya akan kurangkan untuk jaga kesihatan.
“Namun, sebagai anak seni apabila ditawarkan melakukan sesautu kelainan pasti saya mahu lakukan.
“Semua itu hanya untuk kepuasan sebagai pelakon dan mahu tunjuk kebolehan yang mampu dilakukan,” tutur ahli kumpulan Bocey itu.
Sebelum ini menurut laporan Kosmo! Online, rakan seperjuangan, Fad memaklumkan Achey dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah sakit pada bahagian belakang badan. – KOSMO! ONLINE