fbpx

26,000 belia berdaftar sebagai nelayan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan, Kuala Perlis, hari ini.

KUALA PERLIS – Kira-kira 26,000 golongan belia menceburi bidang perikanan dengan berdaftar sebagai ahli nelayan persatuan di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, jumlah itu adalah 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan 87,000 nelayan berdaftar di bawah persatuan nelayan.

“Penglibatan golongan belia sebagai nelayan muda adalah sangat penting kepada sektor perikanan negara bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan negara.

“Kita juga ingin melihat lebih ramai golongan muda dan belia aktif menceburi bidang yang mencabar ini kerana ia memerlukan kekuatan fizikal yang ada pada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan, di sini hari ini.

Kata beliau, kewujudan lebih ramai golongan nelayan muda juga amat penting bagi memastikan sektor perikanan tidak direbut dan didominasi oleh warga asing di negara ini.

Difahamkan, jumlah sebenar nelayan muda di negara ini dianggarkan melebihi 30,000, namun mereka tidak berdaftar kerana tidak memiliki lesen nelayan.

Menurut Muhammad Faiz, LKIM juga sedar beberapa isu yang membelenggu golongan muda terutama daripada segi kekangan modal, pinjaman bank dan pemilikan lesen.

“Bagi tujuan pemilikan lesen nelayan, LKIM akan cuba membantu memudahkan golongan nelayan muda memiliki lesen walaupun ia adalah di bawah bidang Kuasa Jabatan Perikanan.

“Sebenarnya, nelayan muda iaitu golongan belia berusia 18 hingga 35 tahun mempunyai banyak faedah termasuk pinjaman modal daripada Koperasi Belia Negara (Kobena) untuk memulakan perniagaan atau menambah modal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI