SHAH ALAM – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan laporan beberapa media yang sebelum ini mendakwa harga barangan keperluan dijangka meningkat bermula Ogos ini.
Malah kata Ketua Penerangan PKR itu lagi, dakwaan itu hanya andaian dan ’tilikan’ tanpa ada rujukan yang betul.
Ini kerana katanya, kadar inflasi negara menunjukkan trend penurunan selain beberapa petunjuk ekonomi pada tahun ini juga adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus.
“Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik?,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga.
Jelas Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, hasil usaha dan ikhtiar Kerajaan Perpaduan telah berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei. – KOSMO! ONLINE