KUALA LUMPUR – Malaysia perlu berada pada prestasi terbaik apabila diundi bertemu Thailand pada aksi suku akhir dalam acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogjakarta, Indonesia esok.
Pada aksi peringkat kumpulan, skuad remaja negara memastikan slot ke pusingan kalah mati apabila muncul juara Kumpulan C dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan menentang India, Hong Kong dan Bangladesh.
Lebih manis, Malaysia mencatat keputusan memberangsangkan apabila membelasah ketiga-tiga pasukan itu menerusi kemenangan 5-0, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan bertemu Thailand nanti.
Penolong Pengarah Pembangunan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Joanne Quay berkata, walaupun undian tersebut dilihat memihak kepada pasukan negara, namun beliau tetap menggesa pemain-pemain mengekalkan fokus.
“Ia undian yang baik dan apa yang paling penting sekarang adalah pemain memberikan sepenuh fokus untuk aksi menentang Thailand di suku akhir nanti. Kami tidak mahu fikir terlalu jauh, hanya fokus satu demi satu perlawanan.
“Semua pemain berada pada tahap terbaik selain bijak menyesuaikan diri dengan keadaan di dalam gelanggang biarpun berdepan angin yang kuat,” katanya yang merangkap pengurus pasukan.
Untuk rekod, Thailand merupakan juara bertahan dalam acara tersebut selepas mereka memenangi edisi 2019 yang berlangsung di Suzhou, China dengan menewaskan Indonesia 3-2 di perlawanan akhir.
Bagaimanapun, kejohanan tersebut tidak dapat dilangsungkan pada 2020 hingga 2022 selepas dunia dibelenggu pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE