fbpx

Usah terlalu harapkan media sosial ketika berkempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMPEN pilihan raya melalui media sosial dilihat amat bersesuaian dengan golongan muda berusia 18 hingga 40 tahun berbanding pengundi veteran. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada kempen menerusi media sosial.

Penganalisis politik, Prof Dr. P. Sivamurugan berkata, ini kerana walaupun kempen tersebut dilihat berkesan terutamanya kepada Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kempen tersebut masih lagi ada keterbatasannya.

Terutamanya tambah beliau, dari segi capaian kempen kepada pengundi khususnya di luar bandar dan pengundi veteran.

“Kempen di media sosial dilihat sesuai untuk golongan muda berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun kerana informasi sampai kepada mereka dan kita lihat pada PRU lalu ia berkesan kepada golongan ini.

“Namun, kempen rumah ke rumah atau bersemuka serta ce­ramah perlu juga diteruskan kerana kebanyakan orang terutamanya pengundi veteran masih lagi mengikut kempen secara begini.

“Justeru, calon jangan terlalu bergantung kepada media sosial kerana tidak semua pengundi mengikuti atau mendapat maklumat menerusi media sosial,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, selain kempen, parti bertanding perlulah menampilkan calon yang sesuai serta agihan kerusi perlu jelas supaya ia tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan dalam sesebuah parti.

“Ketiga-tiga faktor (calon, agihan kerusi, kempen) ini kena jelas supaya tidak ada permusuhan dalaman yang boleh memudaratkan parti,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkaan peratusan keluar mengundi pada PRN nanti, Sivamurugan berkata, peratusan adalah tidak setinggi PRU dan sekitar bawah 70 peratus sahaja.

“Jika kita jadikan rujukan PRN sebelum ini iaitu di Melaka, Johor dan Sarawak, semua di bawah 70 peratus,” ujarnya.

Turut senada dengan panda­ngan tersebut adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sungai Petani, Kedah, Tunku Nashril Abaidah.

“Walaupun terlalu awal untuk meramal peratus keluar me­ngundi, namun jangkaannya juga adalah sekitar bawah 70 peratus. Ketika ini, kita lihat ‘mood’ pe­ngundi masih belum kelihatan dan sukar untuk meramal peratusan akan keluar mengundi.

“PRN kali ini juga dilihat sedikit ‘perlahan’ tidak nampak semangat pengundi seperti sebelum ini yang berkobar-kobar bila adanya pilihan raya. Mungkin sebab sebelum ini pilihan raya berjalan se­rentak di pusat dan negeri.

“Senario ini sama seperti di Melaka, Johor sebelum ini. Kemeriahan itu tiada lagi setakat ini. Menghampiri hari mengundi barulah kita akan nampak kemeriahan dan mood pengundi juga akan berubah,” katanya.

Tambahnya, kebiasaannya seminggu sebelum PRN barulah boleh dijangka peratusan keluar mengundi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI