PETALING JAYA – Haiwan peliharaan yang dihantar menggunakan kurier berisiko mengalami trauma dan stres, malah lebih teruk lagi akan mati kerana tidak makan dan minum jika proses penghantaran tertangguh.
Presiden Kelab Haiwan Bukan Permainan (HBP), Aisyah Mardhiah berkata, walaupun penjual menjanjikan pesanan sampai dalam sehari, kemungkinan bungkusan hilang adalah tinggi.
“Jika haiwan itu sampai pun, ia mungkin berada dalam keadaan teruk dan sakit kerana tidak dikendalikan dengan baik semasa dalam proses penghantaran.
“Penjual tidak beretika tidak meletakkan makanan atau minuman. Kebanyakan syarikat penghantaran juga tidak membenarkan haiwan dipos, jika ada, cajnya mahal,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, terdapat haiwan yang sudah sakit ketika di bawah jagaan penjual yang mana ia dikurung dalam sangkar kecil.
Jelasnya, haiwan seperti landak mini dan hamster dikumpulkan dalam satu sangkar menyebabkan ia bergaduh, mencederakan sesama sendiri dan mengalami stres.
“Penjual tidak beretika mengambil ringan keperluan asas haiwan, gambar yang dimuat naik di media sosial hanya indah khabar daripada rupa.
“Tetapi hakikatnya, haiwan itu stres dan banyak yang mati kerana sakit gara-gara premis pembiakan yang sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya.
Pada Januari 2023, Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor dilaporkan berkata, sebarang urusan jual beli haiwan hidup dalam kurungan kini perlu mendapatkan lesen bermula 1 Januari lalu bagi memastikan kebajikan haiwan terbela.
Turut dikenakan lesen ialah aktiviti melibatkan penginapan haiwan, menunggang dan mengepung dan pusat perlindungan haiwan dalam kurungan yang termaktub di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.