KOTA BHARU – Semua individu yang memasuki negeri ini akan menjalani ujian saringan Covid-19 atau swab test di empat sekatan jalan raya yang dijalankan di laluan masuk ke Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat berkata, empat sekatan jalan raya iaitu di dua lokasi di Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang itu dijalankan dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang di setiap kawasan.
Katanya, sekatan jalan raya di semua laluan masuk ke negeri ini dijalankan bagi mengawal kemasukan individu dari kawasan zon merah bermula malam ini.
“Bagaimanapun, individu yang keluar dari negeri ini tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
“Orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mengisi borang dan mendapat kelulusan daripada pihak polis dengan alasan yang munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Jalinan Strategik Jabatan Penerangan Kelantan Pembudayaan Norma Baharu di Cerana Villa Ikan Bakar dekat Sering di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, menurut Shafein, polis akan menapis setiap permohonan perjalanan merentas negeri.
Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu polis sewaktu menjalankan sekatan jalan raya selama 24 jam bagu memastikan individu yang masuk ke negeri ini mematuhi prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – K! ONLINE.