PARIS – Peluang gergasi Sepanyol, Real Madrid mendapatkan khidmat Kylian Mbappe semakin cerah selepas pemain itu mengkritik Paris Saint-Germain secara terbuka.
Selepas menyatakan hasrat untuk tidak sambung kontrak yang bakal tamat pada Jun tahun depan, Mbappe menyifatkan PSG sebagai pasukan yang tidak memiliki kesatuan dan berpecah-belah.
“Saya fikir bermain untuk PSG tidak banyak membantu kerana pasukan ini berpecah-belah,” katanya tanya mengulas lebih lanjut tentang dakwaan itu.
Rentetan ini, PSG mungkin terpaksa mempertimbangkan tawaran pada musim panas kali ini memandangkan Presidennya, Nasser Al-Khelaifi pernah menyatakan kelab itu tidak akan biarkan Mbappe berhijrah secara percuma.
Walaupun PSG memenangi gelaran Ligue 1 sebanyak sembilan kali dalam 11 musim terakhir, Mbappe dikatakan dihimpit kecewa kerana masih lagi gagal bantu pasukan memenangi trofi Liga Juara-Juara.
Sebelum ini PSG tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik selepas dikecewakan oleh Bayern Munich 3-0 secara agregat.
Mbappe juga mendakwa dia adalah pemain penting kepada pasukan di peringkat kumpulan, namun tiada jawapan tepat untuk menggambarkan kerapuhan pasukan sepanjang penyertaan di pentas Eropah.
“Kami melakukan apa yang kami mampu sepanjang aksi itu. Kamu perlu bercakap dengan orang yang membentuk, mengurus dan membina pasukan ini,” katanya. – AGENSI