SHAH ALAM – Bateriku (M) Sdn. Bhd. dan TowMe SG Pte. Ltd. (TowMe Asia) menandatangani Memorandum Perjanjian bagi membekalkan perkhidmatan kecemasan bantuan kenderaan secara atas permintaan (on demand) kepada lebih daripada sejuta pelanggan yang terdapat di dalam ekosistem kedua-dua buah syarikat.
Kerjasama rentas sempadan buat pemilik kenderaan di Singapura dan Malaysia ini menyediakan sokongan kepada pemandu yang memasuki kedua buah negara termasuk khidmat penggantian bateri, trak tunda, penggantian tayar, pengisian petrol dan perkhidmatan membuka kunci kereta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi, secara purata, 145,000 kereta bergerak merentasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) setiap hari.
“Kerjasama rentas sempadan ini merupakan inisiatif yang kami percaya akan memberi manfaat kepada pemilik kenderaan di Malaysia dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sempena majlis menandatangani perjanjian di Bateriku Pitstop JB City, Johor Bahru.
Azarol berkata, kerjasama itu turut menyaksikan TowMe Asia menjadi pembekal produk automotif rasmi Bateriku berjenama Astra di Singapura termasuk bateri kereta, wiper dan brek.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif TowMe Asia, Jeremy Yeo, kerjasama tersebut akan menambah nilai kepada perkhidmatan pihaknya dengan memastikan pelanggan menerima bantuan tidak kira di mana mereka berada.
“Kami mendapati bahawa pelanggan kami melawat Malaysia hampir setiap minggu terutamanya ke Johor dan 70 peratus daripada mereka sering mengadakan konvoi berkumpulan ke pelbagai destinasi menarik di Malaysia sehingga ke bahagian Utara Semenanjung dan Thailand,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE