PENYANYI Meghan Trainor selamat melahirkan cahaya mata kedua pada 1 Julai lalu.
Bayi lelaki seberat 3.62 kilogram yang diberi nama Barry Bruce itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
Lebih istimewa lagi, tarikh 1 Julai juga menjadi tarikh ulang tahun ketujuh sewaktu kali pertama dia berkenalan dengan suaminya, Daryl Sabara.
“Tarikh 1 Julai menjadi hari paling istimewa dalam hidup saya. Saya sangat gembira menyambut kelahiran ini, sekali gus melengkapkan kehidupan saya bersama suami,” ujarnya.
Pada masa sama, pelantun lagu All About That Bass itu turut mengucapkan terima kasih kepada doktor serta jururawat yang membantu memudahkan urusan kelahiran.
“Terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang menjaga kami dengan sangat baik,” katanya.
Trainor dan Sabara mendirikan rumah tangga pada 2018 dan mempunyai seorang anak lelaki iaitu Riley Sabara, kini berusia dua tahun.